Monday, July 30, 2012

Sifat bersederhana kelebihan Norol Azali

Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Guai, Norol Azali Sulaiman dijangka terus kukuh di kersui DUN berkenaan sekiranya beliau masih dicalonkan pada Pilihan Raya Umum Ke13, kali ini.

Seorang pengundi, Shahide Salihin, 25 berkata, Norol Azali adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sering turun padang untuk melihat perkembangan semasa rakyat. Menurutnya, sikapnya yang lebih 'selamba' apabila berada dalam satu-satu aktiviti atau program membuatkan rakyat cepat mesra dengan beliau.

“Beliau memang cepat mesra dengan rakyat, lebih-lebih lagi dengan belia di daerah ini. 

“Pada pandangan peribadi saya, beliau juga banyak meluangkan masa bersama belia, mengambil perhatian dengan masalah-masalah termasuk sering mengajak belia untuk mengadakan kepelbagaian aktiviti,” katanya.

Shahide berkata, sememangnya ketika ini, seseorang pemimpin wajar mendekati belia memandangkan jiwa mereka sering mencuba sesuatu yang baru malah mudah terpengaruh dengan persekitaran.
Katanya, ada segelintir belia yang mudah terpengaruh dengan hasutan pembangkang sehinggakan tidak tahu memilih mana yang terbaik untuk mereka.

“Tidak dinafikan, pengundi saluran tiga dan empat ini mempunyai terlalu banyak keinginan dan ada masanya, keinginan mereka itu dieksploitasi pihak pembangkang semata-mata untuk kepentingan mereka sendiri.

“Padahal, saya yakin, kerajaan tidak pernah mengabaikan belia malah sanggup mengikut trend terkini dalam setiap aktiviti yang dijalankan supaya mereka sedar bahawa BN sebuah kerajaan yang prihatin dengan rakyatnya,” katanya.
 
Shahide yang juga Pengerusi Kelab Rakan Muda berkata, berdasarkan pemerhatiannya, beliau yakin BN akan mengulangi kemenangan seperti sebelumnya.

Dalam perkembangan lain, Norol Azali diyakini tetap stabil di Dun Guai apabila sentiasa menumpukan perhatian terhadap masalah rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Ketua Pemuda Umno Cawangan Felda Bukit Kepayang , Nasir Yaacob berkata, Norol Azali masih layak dicalonkan kerana beliau merupakan pemimpin yang berjiwa rakyat.

Katanya, setiap masalah atau isu yang disuarakan, sering mendapat maklum balas dengan segera dan diselesaikan secepat mungkin.

“Beliau (Norol Azali) memang cepat mengambil tindakan terhadap manamana isu atau masalah di kawasannya.

“Cuma yang membezakannya, sama ada ia diselesaikan dalam tempoh cepat atau lambat sahaja dan itu bukanlah masalah yang besar kepada pengundi,” katanya.

Nasir berkata, beliau juga sering masuk ke kampung-kampung pada setiap hari Jumaat dalam aktiviti Lawatan Kawasan untuk bersolat Jumaat bersama penduduk selain bertemu penduduk untuk mengetahui sebarang masalah.

Katanya, aktiviti ini dilakukan secara bergilir-gilir di setiap kampung dalam Dun Guai dan apa yang dilakukan beliau ini sering mendapat pujian daripada pengundi.

“Pemimpin seperti ini yang rakyat mahu sebagai wakil mereka,” kata beliau.

Sumber: sinarharian.com.my (Petikan Laporan Khas Sinar Harian:)

No comments: